Monday, September 20, 2010

~rahsia memberi salam~


KITA hidup hanya sementara dan apabila tiba masanya kita akan dipanggil juga menghadap Tuhan Rabbul Jalil. Pesan Rasulullah kepada kita, orang bijaksana ialah yang bersiap sedia membuat bekal bagi berhadapan dengan saat kritikal di akhirat kelak.

Cukupkah bekalan kita pada masa ini atau kita tidak pernah mengambil tahu saat itu lantaran cintakan dunia hingga lupa di hadapan kita malaikat maut sentiasa taat setia menanti detik ketika mencabut nyawa. Pernahkah kita bermuhasabah meneropong amal kita laksanakan selama ini atau kita masih hanyut dengan keseronokan dunia ?

Surah Ali-Imran ayat 185 yang bermaksud: “Tiap-tiap (yang berjiwa) mesti merasai mati. Sesungguhnya akan dipersembahkan pahala kamu pada hari kiamat. Barang siapa yang terjauh daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya menanglah ia. Tiadalah kehidupan di dunia ini, melainkan kesenangan yang memperdayakan.” Kehidupan di dunia ini hanyalah sesuatu yang memperdayakan.

Memang betul, kerana sudah ramai umat manusia yang tertipu dan terpedaya dengan keseronokan dunia hingga jadi lupa daratan dan lupa diri. Rasulullah bersabda; “Sesungguhnya Allah tidak melihat rupa kalian dan tidak pula harta kalian, tetapi Allah melihat hati dan amal perbuatan kalian.” Ada dua aspek di sini yang diperhatikan Allah terhadap kita. Yang pertama hati dan yang kedua amal perbuatan yang dilaksanakan. Jadi, ibadah hati mesti lurus selurus dan seterang jalan yang ditetapkan Allah.

Hati yang suci dengan nilai mahmudah pasti mendapat sanjungan dan pujian daripada Allah. Yang berkarat penuh dengan debu-debu dosa batin sudah tentu mendapat balasan seksa yang pedih di akhirat kelak. Demikian jugalah dengan kedudukan amalan kita. Amal ibadah wajib dan sunat semuanya dihitung Allah dan diberi pahala di sisi-Nya. Sebenarnya Islam membuka ruang yang amat luas dalam membuat koleksi pahala di dunia ini. Islam meliputi keseluruhan kehidupan. Oleh itu, keseluruhan gaya hidup mukmin yang menepati kehendak agama akan dikira pahala. Antaranya ialah memberikan salam sesama mukmin.

Rasulullah bersabda; “Wahai manusia, berikan salam (ucapan assalamualaikum), berikan makanan, hubungkan silaturahim, kamu akan masuk syurga dengan selamat.’ (Hadis riwayat Bukhari, Muslim dan At-Tirmidzi ). Salam itu doa kesejahteraan dan keselamatan yang seharusnya dilafazkan ketika berjumpa muslim dan menjawabnya wajib. Apakah hikmahnya menyebarluaskan ucapan salam itu? Dalam hal ini, salam dilihat sebagai satu kaedah bagaimana Islam mementingkan gaya hidup yang harmoni berasaskan persamaan dan semangat ukhwah yang utuh.

Kita akan jumpa lagi satu pesanan Rasulullah berkait salam yang dicatatkan oleh Muslimin; “Apakah kamu mahu aku tunjukkan sesuatu apabila kamu lakukan kamu bersatu padu dan berkasih sayang, iaitu sebarkan ucapan assalamualaikum di antara kamu.” Demikian ajaran nabi agar menjadikan salam membentuk ummah bersatu padu.

Seorang tokoh sufi tersohor, Ibrahim bin Adham mengatakan ucapan salam yang ikhlas akan menghindarkan kita daripada kejahatan dan musibah sebagaimana ucapan fitnah akan menimbulkan dosa dan malapetaka. Oleh itu, amalan memberikan salam sesama muslimin itu suatu manifestasi ikatan ukhwah yang mantap bersendikan agama. Bukan saja berpahala tetapi impaknya sangat positif dalam menimbulkan situasi kehidupan bersosial yang harmonis.

Selain itu, pintu kebaikan terbuka luas dengan budaya memberikan sedekah jariah dan sesungguhnya sedekah sesuatu yang amat digalakkan dalam Islam. Bentuk amalan sedekah dalam Islam begitu luas. Bukan hanya semata-mata wang ringgit tetapi juga apa yang boleh mendatangkan manfaat kepada orang lain dikira sedekah dan pahala. Begitulah Islam, indah dan mempesonakan.

Seandainya kita mahu mewujudkan jati diri ummah amalan bersedekah sewajarnya dijadikan budaya hidup. Bersedekah akan mengikis tamak dan hasad dengki, menjadikan bermasyarakat bersatu-padu. Surah Al-Maidah ayat 2, Allah mengingatkan kita semua; “Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam berbuat kebaikan dan kebaktian, dan janganlah kamu bantu-membantu dalam berbuat dosa dan permusuhan.”

Marilah kita renungi bersama akan sabda Rasulullah untuk memahami betapa luasnya ruang lingkup bersedekah dianjurkan Islam. Sabda Rasulullah; “Setiap (pergerakan) sendi tulang manusia itu memperoleh sedekah setiap hari yang disinari matahari: mengadili antara dua orang adalah bersedekah, menolong menaikkan barang ke atas kenderaan seseorang atau menurunkannya adalah sedekah, mengucapkan kata-kata yang baik adalah sedekah, dan setiap langkahmu berjalan ke masjid untuk bersolat adalah sedekah, juga membuang yang menyakiti dari jalan laluan adalah sedekah.” (Maksud Hadis riwayat At-Tabrani dan Ibnu Hibban)

Justeru, mengapakah perlu kita memilih jalan kejahatan, keburukan dan kemaksiatan sedangkan jalan yang dipandukan oleh Allah begitu indah dan terang bersinar.

Jangan kita ditewaskan oleh hasutan syaitan laknatullah yang sentiasa mengajak kita berbuat keburukan, sebaliknya bentenglah diri dengan keteguhan iman, takwa dan amal soleh agar kesudahan hidup kita di dunia mendapat keredaan Allah. Marilah kita renung dengan mata hati akan pesanan Allah ini, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk.” (Surah Al-Bayyinah ayat 7 ).

sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment